Buah tin sudah tidak asing lagi dikalangan masyarakat di Malaysia khususnya yang beragama Islam. Buah ini dipercayai telah wujud sebelum Allah mencipta Nabi Adam. Buah Tin sangat istimewa kerana merupakan buah yang disebut di dalam Al-Quran di dalam surah At-Tin ayat pertama yang berbunyi “Demi buah tin dan zaitun”. Nama buah tin juga tersemat di dalam satu hadis Rasullah saw yang berbunyi “ jika aku mengatakan ada buah yang turun dari syurga maka inilah buahnya (Tin)”.

Pokok Tin atau nama saintifiknya Ficus carica L. tergolong dalam keluarga Moraceae. Di negara ini, ia dikenali sebagai buah ara. Tin juga dipercayai merupakan salah satu tumbuhan yang pertama ditanam oleh manusia sebagai aktiviti pertanian sejak berjuta tahun dahulu. Ia menjadi makanan ruji dalam diet masyarakat Mesir purba.

Berdasarkan sejarah, pada abad pertama selepas Masihi, orang Rom telah membawa tin ke serata tanah jajahannya iaitu di sekitar Mediterranean dan Utara Eropah serta England. Di Asia, tin dipercayai mula dibawa ke China menerusi Laluan Sutera semasa zaman perluasan empayar Islam. Di China, tin mula dikenali kira-kira tahun 700 Selepas Masihi iaitu ketika pemerintahan Dinasti Tang.

Pada masa ini, kebanyakan pokok tin ditanam di kawasan Mediterranean dengan Turki, Mesir, Algeria, Maghribi dan Iran menjadi pengeluar utama tin di dunia.

Kini, penanaman pokok tin juga telah mula ditanam di kawasan yang beriklim tropika termasuk kawasan Asia Tenggara iaitu Malaysia, Thailand dan Indonesia. Walaupun pokok tin berasal dari Asia Barat, namun ia mampu hidup subur di negara ini. Pembiakannya juga amat mudah menerusi kaedah keratan dan tut pada dahan pokok yang matang. Ia boleh ditanam di dalam pasu mahupun polibeg besar. Tidak sesuai jika menggunakan pasu yang kecil kerana akar pokok akan penuh dalam masa yang singkat dan pertumbuhan akan terbantut. Pokok tin tidak sesuai berada di dalam keadaan air bertakung. Seeloknya media yang mengandungi tinggi bahan organik dan peroi.

Cara penanaman pokok tin ini nampak mudah tetapi memerlukan penyelenggaraan dan penjagaan yang betul kerana pokok tin ini adalah sensitif dan perlu diberi perhatian yang secukupnya.. Selain itu, merupakan pokok yang perlukan cahaya matahari dan suhu yang panas bagi menghasilkan buah
Terdapat lebih 1,000 jenis pokok tin dengan sebahagiannya merupakan spesies hibrid atau kacukan.

Antara jenis atau varieti buah tin ialah spesies de la roca yang berasal dari Sepanyol, dalmatine (Rusia), verdale (Kepulauan Mediterranean), jacques cartier (Perancis), verdino (Itali), red Saudi (Arab Saudi), black madiera (Belanda), amerilo rondondo (Brazil), sunee (China), bosniaco (Bosnia Herzegovina), yello Lebanese (Lebanon), Taiwan golden fig (Taiwan) dan masui dauphine (Jepun).
Senarai varieti tin yang rajin berbuah sesuai untuk anda yang baru hendak menanam pokok tin adalah seperti  Khurtmani/red Israel, Tena,  Brownturkey, Purple jordan,  Brown Turkey Modified 6 (Btm6) , Texas everbearing (TE),  Conadria, Xinjiang, Lsu gold, Maria,  Brunswik/ Yellow wuhan,  Negrune,   Taiwan Golden fig (TGF) dan Masui dauphine (MDA)
Pokok tin mempunyai jangka hayat yang panjang dan mampu hidup berpuluh tahun. Buah tin memiliki kulit yang lembut. Kebanyakan spesies pokok tin akan menghasilkan buah yang berwarna merah gelap atau hitam apabila masak. Bergantung pada spesies, sebahagian varieti pokok tin boleh berbuah sepanjang tahun.

Isinya pula memiliki pelbagai warna mengikut spesies, sama ada putih, kuning pucat, merah jambu, warna ros, merah atau ungu.

Buah tin terkenal sebagai buah yang memiliki kandungan nutrisi yang lengkap, baik dari segi mineral dan juga vitamin sehingga ada yang melabelkannya sebagai super nutrition. Ia mengandungi kalsium, potasium dan fiber manakala daunnya boleh digunakan untuk penjagaan kesihatan.

Buah tin segar dijual dianggarkan pada harga sekitar RM80 sekilogram mengikut jenis

 

 

Pokok Tin di Malaysia
Tagged on:         

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *